Selamat Datang ke SMK Jeram, Selangor ------- Info Penting: Pendaftaran Unit Kokurikulum TELAH DITUTUP. Terima Kasih

SEJARAH


 

Sejarah penubuhan Sekolah Menengah Kebangsaan Jeram (dulunya dikenali sebagai Sekolah Menengah Jeram), bermula pada tahun-tahun 1970-an. Pada mulanya bangunan ini dicadangkan akan dibina berhampiran dengan dewan orang ramai di pekan Jeram sekarang ini. Walau bagaimanapun disebabkan masalah sosiobudaya, ekonomi, geografi, dan politik setempat, cadangan pembinaannya telah diubah ke Kampung Simpang Tiga sekarang ini. Namun, masalah yang sama timbul kembali. Lantaran itu, jawatankuasa penubuhan Sekolah Menengah Kebangsaan Jeram telah melalui beberapa proses yang panjang dan memakan masa bertahun-tahun untuk mengenal pasti satu kawasan baharu dan akhirnya Ladang Bukit Cheraka, 6.5 km (4 batu) ke timur Pekan Jeram telah dipilih untuk membina bangunan sekolah tersebut.

SMK Jeram dengan kawasan seluas 15 ekar (6.1 hektar) telah siap dibina pada awal Disember 1983 dan dibuka pada tahun 1984. SMK Jeram secara rasminya digunakan pada 2 Jan 1984 dan telah dirasmikan oleh Menteri Pendidikan Malaysia pada hari Khamis bersamaan 6 November 1986.

             Khidmat Sekolah Menengah Jeram bermula dengan seramai 343 orang murid tingkatan satu dan peralihan. Tenaga pengajarnya pula adalah seramai 16 orang dan kakitangan bukan guru seramai 5 orang. Sekolah ini telah berkembang pesat dan maju dalam pelbagai aspek, antaranya pertambahan bangunan baharu dalam jangka masa lima tahun (1984-1988) dan bilangan tenaga pengajar serta murid turut meningkat kepada 50 orang guru dan 1140 orang murid.

             SMK Jeram pada masa itu telah dilengkapi dengan prasarana seperti 20 buah bilik darjah, sebuah bilik gerakan, pejabat, sebuah pusat sumber, bilik guru, tiga buah makmal sains, sebuah bilik koperasi, sebuah surau dan sebuah kantin. Beberapa tahun kemudian, bilangan bilik darjah meningkat kepada 32 buah, diwujudkan sebuah bilik mesyuarat kecil, enam buah makmal Kemahiran Hidup, dan dua buah makmal komputer EPU. Jumlah murid juga meningkat kepada 2160 dan guru 105 orang.

Selaras dengan perkembangan arus pendidikan semasa dan untuk menampung keperluan murid yang semakin bertambah. Sehingga tahun 2012, SMK Jeram memiliki 38 bilik darjah, surau baharu (Surau As-Syakirin), Balai Sumber, sebuah Studio Seni dan Kios Usahawan. Bilangan murid ialah seramai 2127 orang, guru 141 orang, kakitangan bukan guru seramai sepuluh orang dan pekerja swasta seramai 14 orang. Bermula tahun 2013, bilangan murid seramai 1205 dan guru 85 orang kerana perpindahan murid dan guru ke sekolah baharu iaitu SMK Kampung Bukit Kucing Tengah. Pada tahun 2017 bilangan guru ialah 83, kakitangan ialah 8 dan bilangan murid adalah seramai 1175 orang.

         Pada bulan Oktober 2013 Asean-Confrence Europe Foundation (ASEF), Puan Masinah Binti Sahid mewakili SMK Jeram ke ASEF di Bali, Indonesia. Projek itu telah mula dijalankan di sekolah ini pada 2014 sebanyak 7 projek dengan kerjasama negara luar seperti Indonesia, Vietnam, Finland, Lithuania, Itali, India, dan Bulgaria. Projek ASEF diteruskan setiap tahun sehingga kini dengan kerjasama dari negara-negara lain juga. Projek Pop Sains Lets Explore yang dikendalikan sepenuhnya oleh SMK Jeram telah mendapat Gold Award yang disampaikan di Sofia, Bulgaria pada tahun 2015. Pada tahun 2015 juga, SMK Jeram telah menghantar wakil seramai 15 orang murid dan 3 orang guru dalam Program Java Heritage Trail di Kepulauan Indonesia pada 01-11 November 2015. Pada tahun yang sama juga Sekolah MAN Mojokerto telah membuat lawatan balas ke SMK Jeram (10 murid dan 2 guru) selama dua hari. Pada tahun 2017 pula, ITS Deledda Fabiani di Trieste juga telah membuat lawatan balas ke SMK Jeram selama seminggu.


Comments